Chikara

Chikara bermaksud kuasa, pengaruh atau kebolehan. Diwakili oleh huruf 'ka' dalam tulisan hiragana, menjadi simbol kuasa kepada sesiapa yang menggunakannya. 'Ka' juga bermaksud api dan hari Selasa. Jadi hari Selasa ialah Hari Api dalam kalendar Jepun.

Apa kena-mengena simbol chikara dan ka dalam entri saya kali ini? Saya mendapat semangat baharu dalam penulisan. Moga semangat ini kekal kerana saya ada banyak projek penulisan yang terbengkalai gara-gara kehilangan chikara.

Sebagai penulis, hasil penulisan saya bergantung kepada emosi. Jika emosi saya kacau-bilau, makanya saya tidak boleh menulis dengan hati yang gembira. Mood atau suasana hati saya juga mempengaruhi aktiviti penulisan. Dahulu ada seorang editor pernah bertanya kepada saya, "Kamu menulis bagaimana? Ikut mood ataupun idea. Kalau ikut mood, susah." Memang tidak dinafikan, kata-katanya benar. Penulis yang menulis ikut mood seperti saya, memang sukar hendak menulis secara berterusan.

Sekiranya saya ada idea yang banyak sekali pun, kalau mood saya tidak menentu, makanya terbengkalailah jawabnya. Seperti contoh siri Akademi Gemilang yang sudah lama saya peram. Sepatutnya manuskrip dihantar pada tahun lepas. Malang sekali, mood saya yang tidak menentu, menghalang kelancaran penulisan manuskrip tersebut. Dan beberapa hari yang lalu, saya memperoleh idea baharu bagi memperkembangkan plot Akademi Gemilang. Insya-Allah, dengan chikara yang saya rasa kini, manuskrip Akademi Gemilang boleh disiapkan dan dihantar kepada penerbit tahun ini juga.

Apa yang membuatkan chikara saya kembali bersemarak? Jawapannya ialah Mufin Manja. Karya remaja di bawah PTS Profesional yang berjaya diterjemahkan dan sedang dijual di Indonesia. Berita ini menjadi daya penolak kepada saya untuk menumpukan perhatian kepada dunia penulisan saya yang sedikit suram lewat kebelakangan ini.

Ada penulis begitu bertuah kerana hanya dengan satu buku, hasil tulisannya beroleh kejayaan. Saya tidak tergolong dalam kumpulan penulis itu. Walaupun sudah menghasilkan banyak novel, saya masih belum mendatangkan impak dalam dunia penulisan. Maka saya harus berusaha lebih gigih daripada sebelumnya. Moga chikara yang baharu ini mampu melonjakkan semangat saya untuk kembali aktif menulis dalam pelbagai genre.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kena cabut ke?

Resepi Bihun Goreng Simple Tapi Sedap

Sambal hangit