'Cikgu Jepun'

Sewaktu beratur untuk membeli dua bungkus nasi lemak pagi tadi, di sebuah gerai berhadapan dengan rumah, satu perisitwa berlaku; yang membuatkan aku tersenyum sendiri mengenang akan zaman persekolahan. Dahulu ketika di bangku sekolah, orang kata zaman persekolahan merupakan satu jangka waktu yang paling manis dalam hidup seorang remaja. Tapi waktu itu, fikiran masih pendek. Langsung tidak mahu menerima pendapat orang yang lebih dahulu makan garam. Kalau boleh, hendak cepat tamat sekolah agar boleh bebas daripada cengkaman cikgu, kerja sekolah dan peperiksaaan.

Namun selepas hampir 12 tahun meninggalkan alam persekolahan, telahan tersebut ternyata benar. Zaman persekolahan merupakan jangka waktu yang paling manis dalam hidup. Apa pun, aku bukan hendak bercerita mengenai zaman persekolahanku. Tetapi aku ingin mengulas sedikit tentang peristiwa yang berlaku tadi.

Seperti biasa setiap pagi gerai nasi lemak Nyai (seorang nenek yang tinggal satu blok dengan aku), dihurung oleh pelajar-pelajar sekolah menengah yang terletak di sebelah kawasan kediamanku. Tak menang tangan Nyai dan anak lelakinya melayan pelajar-pelajar (majoritinya pelajar lelaki) tersebut yang datang bagaikan tebuan. Ada yang mahu bungkus, tak kurang juga yang mahu makan di situ. Waktu itu nombor giliran seakan-akan tidak wujud. Pada mulanya aku tak faham kenapa mereka seakan-akan tergesa-gesa padahal waktu itu jam baru menunjukkan pukul 7.15 pagi. Masih banyak masa lagi sebelum loceng berbunyi iaitu pukul 7.30 pagi.

Persoalanku terjawab apabila tiba-tiba hadir seorang guru wanita berkaca mata dan berkebaya hijau yang cantik. Suaranya tegas dan menarik perhatian semua pelanggan di gerai tersebut. Antara kata-katanya yang dapat kuingat ialah: "Tak sembahyang Subuh ke kamu semua pagi tadi? Lain kali bangun awal. Sembahyang, berdoa pada Tuhan. Bila bangun awal, sarapan pun awal. Berapa kali saya nak beri penerangan? Pukul 7.15 pagi mesti ada dalam kawasan sekolah. Selepas waktu itu kamu tidak dibenarkan makan di luar. Siapa yang sedang makan tu, cepat habiskan. Dan yang tak sempat, boleh bungkus. Kan pukul 7.30 pagi kamu ada silent reading...."

Aku terpana seketika. Kagum dengan kesungguhan guru tersebut. Seingat aku cikgu macam ni wujud pada zaman 'Cikgu Jepun' (kalau siapa pernah baca majalah Gila-gila, pasti kenal Cikgu Jepun). Nada suaranya berleter kepada pelajar-pelajar itu, bukan nada marah. Tetapi nada nasihat yang membuatkan sesiapa jua akan malu kerana tidak mendengar kata-katanya. Malangnya ada segelintir orang dewasa yang seakan-akan tidak bersetuju dengan tindakan guru berkenaan (melihat dari segi pakaian, mereka ini bukanlah daripada kategori pelajar cemerlang sewaktu di sekolah dahulu - pahit tapi benar).

Pada pandangan aku, melihat kepada situasi pelajar-pelajar sekolah sekarang yang semakin banyak terlibat dengan perlakuan delinkuen, kehadiran 'Cikgu Jepun' amat-amat diperlukan - cikgu garang berotan panjang. Bukan tak ada cikgu yang menjadikan rotan sebagai salah satu aksesori pakaian mereka. Ada, cuma kehadiran rotan selalu disalahertikan oleh ibu bapa dan disalahgunakan oleh sebilangan guru-guru tertentu. Rotan sepatutnya digunakan dengan penuh hikmah. Guna bila benar-benar perlu.

Pelajar-pelajar sekolah sekarang ini perlukan belaian dan kasih sayang. Mereka tidak mahu sentiasa dileteri (sebab di rumah mereka sudah puas dileteri). Usia mereka yang sedang meningkat naik menyebabkan mereka bersikap tidak wajar. Sebab itu mereka perlukan bimbingan, bukan kemarahan. Memilih kerjaya sebagai seorang guru amat besar tanggungjwabnya. Mereka harus banyak bersabar. Namun jika pelajar-pelajar melampaui batas, yang tidak boleh dimaafkan, maka rotan wajib bersuara.

Aku tak kisah kalau anak aku kena rotan di sekolah kerana berkelakuan nakal. Tapi merotan untuk mengajar, bukan untuk menghukum dengan cara yang tidak rasional. Sedikit waktu dahulu, aku pernah bercita-cita untuk menjadi seorang pendidik. Namun bila ditimbangkan semula, kerjaya itu tidak sesuai buatku kerana aku bukanlah seorang yang sabar. Walaupun begitu, gelaran 'cikgu' itu lekat jua padaku di tempat kerjaku sekarang. Ada beberapa orang kakitangan di sini yang senang memanggil aku dengan gelaran 'cikgu' kerana tugasku sebagai editor - salah satu bidang tugas ialah menjadi tempat rujukan berkenaan bahasa.
Nampaknya berjaya juga aku jadi 'cikgu' walaupun bukan cikgu sekolah....

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kena cabut ke?

Resepi Bihun Goreng Simple Tapi Sedap

Sambal hangit