Ceasarean dan normal

Menghitung hari, detik demi detik....

Sudah 29 minggu. Dalam masa dua bulan lagi penantian ini akan berakhir. Seronok dan takut (sekali lagi) bercampur-baur. Seronok sebab dapat baby baru. Takut sebab prosedur kelahiran itu nanti akan melalui beberapa saat getir dan genting. Sewaktu melahirkan Aliyah dulu, masih fresh dan tak tahu apa yang akan berlaku. Kali ini, sudah terbayang di ruang mata apa yang akan terjadi plot demi plot dan perasaan yang mengiringi sekiranya detik tersebut bermula.
Bukannya sakit yang dibimbangkan. Cuma beberapa prosedur yang tidak begitu menyelesakan yang tidak begitu disukai. Mungkin disebabkan pengalaman pertama dahulu di sebuah hospital. Sebab lain padang, lain belalang. Ada yang susah, ada yang senang.

Doktor sudah memberikan pilihan. Disebabkan faktor anatomi, berat baby mesti tidak lebih daripada 3 kilo. Aliyah dahulu beratnya menjangkau 3.2 kilo. Saiz yang tidak sesuai menyebabkan dia terpaksa dilahirkan melalui proses vakum (kena sedut dengan mesin hampagas). Memang mudah sebab ada yang membantu. Tetapi proses tersebut telah menyebabkan luka yang teruk. Maka sebab itu, doktor memberikan pilihan untuk menjalani C-section!

Yang lucunya, bila dengar saja doktor kata begitu, hoorey! Mungkin kalian semua akan terkejut. Tapi percayalah, setelah apa yang aku lalui sewaktu melahirkan Aliyah, Ceasarean merupakan pilihan terbaik untuk kelahiran kali kedua ini. Cuma susahnya akan timbul selepas kelahiran kerana hendak menjaga luka pembedahan bukannya mudah. Tapi melihat akan pengalaman Ita (adikku) yang melahirkan Faiz dan Faris secara pembedahan, tidak ada apa yang perlu dibimbangkan. Tambahan pula Faris lahir tidak sampai setahun umur Faiz.

Penggunaan epidural untuk mengurangkan sakit tidak pernah terlintas di fikiranku. Biarlah rasa sakit itu kutanggung sendiri tanpa bantuan ubat yang menggunakan prosedur yang menyakitkan. Lagipun penggunaannya bukan untuk menghapuskan sakit, tetapi hanya meminimumkan kesakitan dan memberikan keselesaan sahaja.

Apa pun keputusannya, kena tunggu bulan hadapan untuk memastikan berat baby. Kalau lebih juga daripada 3 kilo, memang tiada pilihan lain selain 'keluar ikut tingkap'.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kena cabut ke?

Resepi Bihun Goreng Simple Tapi Sedap

Sambal hangit