Biar lambat, asalkan selamat sampai

Kalau ada antara kalian pernah melihat kereta aku, tentu akan menyangka kereta itu 'mat racer' yang punya. Dengan spoiler tinggi ala-ala Batmobile, ditambah spotrim bergelang putih dan ekzos yang kuat bunyinya...tak siapa sangka orang di belakang stering ialah seorang ibu mengandung. Kelakar!

Lebih menambahkan lucu, bila kelajuan kereta Wira Aeroback itu tidak selaju seperti yang sepatutnya (iaitu menyalahi undang-undang - dengan kata lain pemilik kenderaan seumpama itu suka memandu laju). Hanya 'seperti yang sepatutnya' apabila tuan punya kereta (suami aku lah tu) yang memandunya.

Semenjak mengandung buat kali kedua ini, sekali lagi, aku secara automatiknya akan memandu perlahan - ikut had laju yang ditetapkan, tidak mencelah-celah untuk cepat sampai dan tidak akan 'curi jalan'. Berbeza semasa zaman bujang dan sebelum mempunyai anak. Entah kenapa tahap adrenalin menurun setiap kali memandu. Mungkin memikirkan ada dua nyawa lain yang saling bergantung pada diriku ketika ini. Biarlah orang nak kata keledek ke, siput ke, kura-kura ke...yang penting aku dan Aliyah selamat sampai ke rumah.

Cuma yang menyakitkan hati adalah apabila orang lain memandu ikut sesuka hati. Membelok tanpa berikan isyarat, berhenti sesuka hati (teksi selalu buat begini - maaflah, tapi ini realiti), motorsikal yang terlalu perlahan berada di tengah-tengah jalan hingga menyusahkan kenderaan lain hendak memotong dan berbagai-bagai lagi. Aku tak kata aku seorang pemandu yang bagus. Cuma apabila memandu, dalam fikiranku, keselamatan itu lebih utama daripada cepat sampai ke destinasi. Jadi aku lebih berhati-hati, tetapi tidaklah sampai terlalu berhati-hati hingga teragak-agak dan membahayakan pemandu lain.

Kadang-kadang, kerana takut melihat cara pemandu di Malaysia memandu, aku fikir naik kenderaan awam lagi selamat. Tidak ada risiko orang langgar aku atau aku terlanggar orang. Cuma kalau kenderaan awam itu berlanggar sahaja yang menjadi risikonya. Tapi sampai bila hendak melarikan diri daripada kenyataan. Maka setiap pagi dan petang, sebelum pergi dan pulang, aku akan berdoa agar Allah melindungi perjalananku, moga terlindung daripada bahaya dan malapetaka. Di samping itu, aku akan sentiasa beringat dan bersabar. Anda insan lain yang mengharapkan ketibaanku di rumah.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kena cabut ke?

Resepi Bihun Goreng Simple Tapi Sedap

Sambal hangit