Jalan ke Frankfurter Buchmesse~ Hari Kedua

9 Oktober 2017

Sepatutnya hari ni aku ada sesi memperkenalkan press kat Goethe University. Malangnya, orang yang bos aku nak temui tu tak free. Memandangkan aku duduk jauh daripada bos, maka bos kata dia nak jalan-jalan sendiri melawat Islamic Centre sekitar Frankfurt untuk kajian dia. Jadi jadual aku kosong. Masa terfikir-fikir nak buat apa tu, kawan aku ajak pergi Wertheim Village, sebuah perkampungan brand outlets. Jujurnya, aku tak berapa teruja sebab shopping barang berjenama ni bukan kesukaan aku sangat.

Lagipun aku memang tak ada bajet nak shopping sampai pengsan pun. Tujuan utama aku ke sini, selain kerja, ialah nak cari buah strawberi manis, buah ceri dan tengok istana lama. Mohon gelak guling-guling ya... tapi tulah bucket list aku. Nothing more, nothing less. Aku nak ke Kleinmarkethalle. Cuma bila sampai aje ke Frankfurt aku hilang ingatan untuk cari tempat tu. Menyampah aje rasa.

Disebabkan perasaan aku masih overwhelm dengan rasa ketakjuban sebab aku berjaya jejak kaki ke Eropah, sel otak aku lambat berhubung untuk merangka tindak balas yang sesuai dengan kehendak aku. Aku amik masa yang lama untuk adjust sebenarnya. Otak lagging teruk sangat. Lalu aku pun setuju ajelah ikut ke sana.



Hati tu aku bangun pukul 3.00 pagi. Awal tu. Mungkin sebab badan aku belum adapt sepenuhnya dengan perubahan masa. Sambil tunggu waktu Subuh, aku tengok TV. Buka channel NHK sebab bahasa Inggeris. Lebih kurang pukul 7.00 pagi, aku turun ke dining hall. Rasa kekok jugak dan sekali lagi aku tarik perhatian orang. Wanita bertudung. Muslim. Hurmm... aku kena sesuaikan diri dengan perasaan awkward ni. Atau mungkin perasaan aku saja.

Makanan yang aku boleh ambil cuma roti, bijirin, susu dan jus. Untuk hari tu aku ambil roti dan mentega, susu dan air sejuk. Tinggi betul tempat potong rotinya. Rasa aku comel sangat... huhuhu. Satu perkara ironi terjadi. Jerman negara sejuk, tapi menteganya lembut. Malaysia negara panas, tapi menteganya beku. Nak sapu kat roti pun payah. Ini perkara pertama yang aku perasan masa buka pembalut mentega untuk sapu atas roti. Situasi ni hanya applicable pada kehidupan di hotel saja ya. Kat rumah, sendiri fikirlah kau nak butter beku atau cair, kan?

Hari pertama breakfast, masih malu-malu. Ambil pun sekeping aje roti. Sebab dah breakfast makan nasi goreng cina kat bilik sebelum subuh tadi.
Dan susunya atau milch dalam bahasa Jerman, sangatlah sedap macam adik aku cakap. Aku tak berani nak minum jus. Kalau kat tanah air, bila breakfast, mesti aku minum jus oren atau jambu sebab nak memudahkan pelawasan. Kat negara Eropah ni, tandas awamnya tak mesra pengguna Muslim. Jadi nak makan tu, harus beringat. Sebelum keluar bilik, sempurnakanlah hajat besar dulu. Maka disebabkan kesulitan tu, aku memilih untuk makan waktu pagi semasa kat sana. Worried too much? Naaaa... I just like to be prepared in advance.

Lepas breakfast, aku hidupkan DB Navigator. nak cari hentian bas. Berpusing-pusing aku ikut navigator. Hampir-hampir nak melintas lebuh raya ikut flyover. Tapi akal waras lekas bertindak. Macm salah aje ni. Lalu aku patah balik ke hotel. Kat depan dan sebelah kiri hotel tu dah la ada construction sites. Agak seram jugaklah walaupun pada waktu pagi berkabus tu tempat tu sunyi tak ada orang.

Sampai kat depan hotel, aku belek lagi DB Navigator. Masih berdegil tanak tanya reception. Tengah aku mencongak jalan, aku nampak sorang wanita Eropah berjalan ke arah bertentangan dengan Gateway Garden Nord. Ahah! Kalau tak salah aku, wanita tu aku nampak masa kat cafe hotel tadi. Lalu aku pun panjangkan langkah, follow dia lalu depan bangunan Condor Flugdienst.

Condor Flugdienst; pemandangan dari bilik aku

Aku nampak dia belok ke jalan Amelia-Mary-Earhart-Straße (Sebutan huruf ß ialah double s). Aku pun ikut. Tadaaa... ada bus stop! Tak jauh pun. Tak sampai 5 minit jalan kaki. Terus aku teringat kata-kata receptionist hotel semalam. Tapi menurut kata dia, jangan bergantung pada bus nombor 77 dan Of-67 ni sebab masanya irregular. Masalahnya, aku tak jumpa pun bus stop untuk bas nombor 61 yang dia maksudkan.

Bus stop  kat Amelia-Mary-Earhart-Straße; sebelah Condor Flugdienst

Dengan tabah aku tunggu bas. Ada dua tiga orang lain lagi yang tunggu bas yang sama. Tak lama lepas tu, sebuah bas datang. Bas nombor 77 tulis Flughafen Terminal 1. Memang aku perlu ke stesen tren kat Flughafen untuk ke Frankfurt am Main Hauptbahnhof (Central Station). Masa ni la aku keluarkan Frankfurter Buchmesse Exhibitor Pass yang berikan kami kemudahan menaiki kemudahan awam pengangkutan RMV sekitar Frankfurt. Mudah banyak!

Pemandu bas tu tak tengok pun pass aku. Agaknya dia dah memang tau sekarang musim Buchmesse. Ramai orang asing akan flash kat tu kat muka dia... hahaha. At least, that was what I thought. Rupa-rupanya kat Frankfurt, dan mungkin juga Jerman secara keseluruhan, untuk menaiki pengangkutan awam tren dan tram, tiket perlu dibeli terlebih dahulu kat vending machine atau kat kaunter. Tiket bas saja perlu dibayar pada pemandu.

Muka cuak aje naik bas buat pertama kali
Untuk masuk ke stesen tren, tak ada barrier gate macam yang ada kat stesen LRT dan MRT. Memang tak ada langsung apa-apa gate. Kita boleh masuk terus. Memudahkan dan amat mencurigakan, kan? Sebabnya sesiapa saja boleh naik tren, tram mahupun bas (sebab pemandunya macam tak insist nak tengok pass kita atau minta bayaran. Ekspresi muka dia macam, kau nak bayar, bayarlah.) tanpa bayaran. Free ride lah. Untung sangat. Tapi awas! Ada inspektor tiket yang berpakaian biasa sedang mengawasi orang yang mencurigakan. Kata kawan aku, tubuh badan inspektor tiket ni besar-besar macam bouncer. Sekali tertangkap, kena saman mahal. Dan sepanjang aku kat Frankfurt, tak pernah orang datang check tiket aku (kecuali masa pergi Rudensheim. That's another story later). Mungkin muka aku ni suci murni lagi diyakini keikhlasannya kot... hahaha.

Okey... kita patah balik pada cerita aku yang tengah naik bas nak ke Flughafen tadi. Aku memang tak tahu nak berhenti kat mana. Jadi aku alert sentiasa. Bila bas berhenti kat bus stand Terminal 1, aku terus turun sebab nampak tempat tu macam hentian bas macam Hentian Pudu Raya (Pudu Sentral) tapi terbuka dan tak bau asap. Sekali lagi, aku perhatikan pergerakan penumpang bas. Masing-masing masuk kat satu pintu dan turun bawah naik eskulator. Aku pun ikut.

Berdasarkan DB Navigator, aku perlu naik tren S8 atau S9. Tapi untuk 2-3 hari aku kat sana, aku tak rasa aku naik tren tu. Sebaliknya aku naik tren RE, iaitu tren intercity yang perlukan tiket lain. Mujurlah aku tak kena cekup dengan inspektor tiket atas kenaifan aku yang masih blur lagi time tu. Aku tersedar pun kesilapan tu lepas dah 2-3 hari kat Frankfurt... hahaha. Patutlah aku rasa lain aje masa naik tren RE tu. Bila sampai kat Haupbahnhof, aku kat atas tanah. Bukan tren bawah tanah yang sepatutnya aku naik, iaitu S line 😂😂😂. Sesungguhnya, aku bernasib baik. Bukan niat nak menipu. Tapi memang bodoh tak tau 😄😄😄.

Sebaik sampai kat Hauptbahnhof, aku macam rusa masuk bandar. Terpinga dan terngaga takjub tengok open station yang sampaikan burung merpati pun bebas masuk makan dan verak. Sangat mesra alam stesen tu. Terasa keharmoniannya dengan alam. Kawan aku kata tunggu depan McDonald's. Maka aku pun tunggulah kat situ. Janji pukul 9.00 pagi, tapi aku sampai awal lebih kurang 8.30 pagi. Rasa macam lama sangat aku terpacak kat satu tempat. Jadi easy target pulak nanti. Lalu aku pun jalan-jalan tengok kawasan.

Central Station yang jadi pusat pergerakan aku sepanjang kat Frankfurt

Aku tengok kat stesen tu, banyak sangat tempat nama Ausgang. Popular sungguh. lepas 2-3 hari kat Messe baru aku tau yang Ausgang tu maknanya Exit...kahkahkah. Eigang pula Entrance. Patutlah banyak Ausgang sana sini. Ingatkan nama tempat.

Aku keluar dari salah satu ausgang, amik gambar 2-3 keping. Masuk balik stesen. Kemudian keluar lagi. Kali ni pintu utama yang masa tu aku tak tau itu pintu utama. Masa nak masuk balik stesen, ada orang tegur aku.

Dalam central station dan pemadangan kat luar station. Ausgang/Eigang lain


Kus semangat. Terkejut kot. Ada orang kenal aku kat Frankfurt lah! Sekali pusing... la... ahli rombongan delegasi Malaysia daripada penerbit lain rupa-rupanya. Perasan aje lebih tadi... hahaha. Dan lepas tu terjumpalah ahli rombongan lain yang sama-sama nak ke Wertheim Village. Ramai rupa-rupanya ahli rombongan Cik Kiah kali ni. Maka bermulalah episod taaruf aku dengan pegawai penerbit lain yang selama ni aku cuma kenal rupa, tak kenal nama; kenal nama, tak kenal rupa; kenal dari jauh saja. Aku bukan mudah peramah orangnya. Tapi sekali dah kenal, korang tak akan tahan dengar aku menceceh tak henti.... ngeee.

Cukup saja ahli rombongan, kami bergerak ke stesen bas. Tak jauh dari pintu utama stesen utama Hauptbahnhof. Depan tu aje. Lebih kurang pukul 9.00 pagi atau memang tepat pada masanya, bas pun sampai. Aku tak tengok masa sebab asyik berborak. Tambang untuk ke Wertheim Village ialah €10.00 seorang. Disebabkan bas ni bukan pengangkutan awam yang naik hari-hari, maka pass Buchmesse tu tak laku. Dalam bas dan seperti juga dalam tren, memang hangat sebab ada heater. Buka kot kalau nak selesa. Kalau tak, bahang semacam aje rasa. Dah la aku ni memang cepat rasa panas.

Bas ke Wertheim Village | Pemandangan sepanjang perjalanan

Perjalanan dari Hauptbahnhof ke Wertheim Village ambil masa dalam 50 minit. Aku nikmati sepenuhnya pemandangan di sepanjang perjalanan. Disebabkan pemandu duduk sebelah kiri, maka fast lane adalah di sebelah kiri. Pada mulanya aku sangka, bas ni laju sebab duduk kat lane kanan. Rupa-rupanya, memang patutlah dia duduk lane kanan sebab itu lane perlahan. Keliru lagi. Sekali lagi bila dia belok nak masuk simpang, aku rasa macam nak accident. Seriau aje. Masih belum adapt dengan pemanduan sebelah kiri gamaknya. Kena selalu keluar dari Asia Tenggara nampaknya ni...heh heh heh.

Sebaik sampai kat Wertheim Village, pemandu bas beritahu yang kami semua perlu berkumpul kat situ semula jam 3.00 petang. Bayar tambang tadi untuk round trip. Jadi jangan ketinggalan bas. Kalau ketinggalan, aku tak pasti pulak sama ada kena bayar semula tambang atau tak. Tak ada cita-cita nak test kemungkinan tu.

Sebagai pelancong, kami diberikan kupon diskaun sebanyak 10% sebagai menggalakkan pelancongan katanya. Lepas tunjuk passport kat kaunter, dapatlah kupon 10% yang aku tak gunakan pun. Bukan semua outlet boleh guna. Outlet tertentu saja.

Pemandangan sekitar Wertheim Village


Mati akal juga aku kat sini sebab aku tak tau nak tengok apa. Bajet memang tak ada nak shopping spree barang-barang berjenama ni. Tak biasa dan tak mampu sebenarnya. Jadi aku ikut ajelah ahli rombongan lain. Tapi lepas tu aku jalan jer sorang-sorang. Bukannya sesat pun.

Disebabkan aku clueless, aku WhatsApp la adik aku yang memang kaki branded ni. Masa tu aku kat outlet Guess tengah usha trench coat warna merah. Cantik memang cantik. Harganya pun cantik. Adik aku kata, beli ajelah sebab kat Malaysia memang lagi mahal lepas dah convert currency. Tapi aku rasa macam sayang duit. Bukannya selalu pun aku ke luar negara terutama negara sejuk. Adik aku kata, kalau nak jimat, shopping kat Primark aje. Dan memang jahanam poket aku lepas aku kenal apa itu Primark (another story).

Santek tak kot merah yang aku usha kat Guess Brand Outlet tu? 

Akhirnya, aku cuma beli lip balm, hand & body lotion dan body butter kat Body Shop. Harganya murah daripada kat Malaysia. Dan aku beli coklat Lindt. Geram tengok coklat tu bulat-bulat dengan packaging warna-warni pelbagai perisa. Tapi sebelum beli, gigih aku Google sama ada coklat ni halal atau tak. Kat website dia, ada dinyatakan yang coklat ni tak gunakan lemak haiwan.

Hasil rembatan kat Wertheim Village. Ini aje yang mampu


Lepas puas jalan-jalan, kami regroup (tak semua ahli rombongan ada) dan berkumpul kat Coffee Fellows. Port aku duduk memang strategik untuk menulis. Tapi sayangnya, iPad tinggal kat hotel. Kalau dari awal aku set fikiran betul-betul, tentu aku dah duduk kat sini dari pagi sampai petang dengan harapan terhasilkan satu mahakarya yang bakal meletupkan nama aku sebagai penulis suam-suam kuku. Berangan ajelah kan.

Sebagai penulis, lokasi ni amat inspiring untuk menulis. Terasa ke-oversea-annya. Kalah feeling lepak kat Starbuck Malaysia


Tepat jam 3.00 petang, kami naik semula bas tadi dan bertolak pulang ke Hauptbahnhof. Sampai sana, terkejar-kejar nak cari tempat solat. Maklumlah, waktu Maghrib awal, dalam pukul 6.40 petang. Masa tu dah pukul 4.00 petang. Pada mulanya kami nak tumpang solat kat Islamic Centre Pakistan. Tapi masya-Allah.... tak woman friendly langsung. Dan tempatnya sangatlah tak bersih dan nampak tak selamat. Islamic Centre Bangladesh pun sama. Akhir sekali, sebahagian ahli rombongan menuju ke Islamic Centre Turki. Aku tak follow sebab rasa penat dan waswas nak jalan kat sekitar Hauptbahnhof ketika tu sebab belum familiar. Aku tumpang solat kat bilik penginapan ahli rombongan lain.

Lepas solat, aku pergi market kat sekitar situ nak cari bahan mentah untuk masak. Pening kepala aku cari minyak masak. Aku cari olive oil tak jumpa. Sunflower oil tak jumpa. Bila aku tanya pekedai, dia tak faham oil apa yang aku cari. Akhirnya aku cakap cooking oil. Lalu dia tunjuk Rapsoil. Walawehhh... apa ke hal aku nak masak guna minyak motor ni? Tapi sebenarnya, itulah nama yang digunakan untuk minyak masak. Palm oil jangan dicari sebab tak ada. Jadi kena gunakan minyak  jenis lain.

Lepas beli minyak masak, telur, cili padi, bawang holand, bawang putih dan sosej, baru aku balik ke stesen. Pengalaman aku beli barang kat kedai runcit tu memang tak best. Ramai umat lelaki bangsa bukan Jerman. Turki ada. Greek ada. Bangla ada. Pakistan ada. Pendek kata, semua bangsa Asia Muslim dan aku rasa tak selamat juga. Kesimpulannya, bukan bangsa yang buat aku rasa tak selamat. Tapi keadaan dan sikap manusia tu sendiri. Tak perlulah nak racist sangat.

Masa nak ke stesen, aku lalu jalan bawah tanah. Masa tu hari belum gelap. Jadi aku tak rasa tak selamat. Tapi kalau ikutkan kawan aku, lebih baik ikut jalan atas, melintas jalan besar daripada ikut jalan bawah tanah. Mungkin sebab waktu tu masih terang, jadi aku tak fikir negatif.

Aku lalu depan Rossmann. Masuk kejap beli cheese dan roti empat segi. Masa keluar, aku ternampak Chinese Supermarket. La... kalau awal tadi aku nampak market ni, tak perlulah aku nak rasa tak selesa meredah kedai kat atas tadi. Kat market ni aku jumpa banyak barang-barang best. Tempe pun ada. Saja aku pusing tengok-tengok seolah-olah melepaskan rindu pada tanah air padahal bukan lama sangat aku tinggalkan Tanah Melayu. Emo aje lebih! Aku beli kangkung dan limau nipis. Nak beli ikan, sotong, udang, mahal yakmat. Ayam dan lembu mesti tak halal. Sebab tu menu aku hari-hari mesti nasi goreng. Itu yang mudah dimasak dan nasi goreng ada pelbagai jenis.

Sekali lagi aku naik tren intercity tanpa disengajakan. Innocent free ride. Sampai kat Flughafen, tercuak sebab tak dapat cari bus tand pagi tadi. Dekat setengah jam aku main merry go round kat dalam Terminal Flughafen. Sekali jumpa bus stand yang agak pelik sikit. Semua bas yang berhenti kat situ ialah shutle bus untuk ke hotel lain. Tercari-cari juga kot-kot ada shuttle ke Element Hotel (walaupun aku diberitahu memang tak ada). Dekat sejam tunggu, aku dah cuak. Salah bus stand ni. Aku terpandang seberang sana. Walawehhh... itu bukan bus stand aku pagi tadi ke? Grrrr.... Aku lintas jalan dan seberangi askulator nak ke stesen tren yang aku lalu pagi tadi.

Tiga hentian yang selalu buat aku huru hara. Dah hari keempat baru aku well-verse like a boss

Tak lama tunggu, aku nampak bas nombor 61. Dengan lega aku naik. Dahlah penat tunggu bas tadi. Disebabkan penat, aku tak peka dengan jalan. Bas ni ikut jalan lain. Eh... tiba-tiba bas berhenti kat Gateway Garden Nord. Nama tempat ni familiar. Dan aku pun tanya pemandu bas. Ni ke hentian bas kalau nak pergi Element Hotel? Dia angguk. Aku pun turun kat bus stop tepi highway gadang tu. Halamakkkk.... Arah mana nak kutuju. Masa ni Waze dan DB Navigator bagaikan tak berguna.

Tiba-tiba pemandu bas hon dan tunjukkan jalan. Dia tunjuk ke depan dengan arah membelok ke atas. Aku angguk dan jalan ke depan. Ada sebuah lorong kecik berbukit. Kiri kanan ada semak. Lorong tu bertar. Maknanya memang jalan yang biasa dilalui orang. Bukan jalan tikus. Kalau tak salah aku tadi, ada sorang penumpang lelaki yang turun sama dengan aku dan dia ikut jalan ni. Lalu aku pun separuh berlari lalu jalan tu dengan harapan jangan ada werewolf serang hendap aku kat situ. Hari pun dah gelap. Lampu jalan dah bernyala. Kabus semakin menebal. Macam cerita seram pulak aku rasa.

Pada mulanya aku cuak dan seram lalu jalan ni. Tapi lama-lama, alah bisa tegal biasa. Gambar ni aku snap masa hari Sabtu. 

Tak sampai tiga minit aku lalu jalan tu, aku sampai kat jalan raya yang pagi tadi aku lalu masa nak cari bus stop bas nombor 61 ni. Hek elehhhh... kat sini rupa-rupanya yang DB Navigator maksudkan pagi tadi. Aku tak perasan lorong ni sebab macam tersorok. Lalu sambil gelak-gelak ketawakan kenaifan dan kebengongan diri sendiri, aku jalan tuju ke hotel. Lega... walaupun sesat, aku sampai juga balik ke hotel.

Makan malam tu, aku masak nasi, goreng telur dan masak kari daging Brahims. Masak nasi satu cawan, ada baki separuh. Esok boleh buat nasi goreng cina. Lepas makan dan solat jamak, aku landing atas katil, bukak siaran NHK  (memang selalu buka TV, low volumn kalau nak tido kat hotel) dan sambung tengok Princess Hours versi Thailand sampai habis. Nangis sorang-sorang kat bilik feeling tengok lakorn... hahaha.

Hasil rembatan kat kedai runcit di Hauptbahnhof (kiri) | Masak nasi untuk makan malam dan pagi esok (tengah)
Pukul 12 tengah malam waktu Frankfurt, anak aku call. Dia dah siap-siap nak pergi sekolah. Waktu Malaysia pukul 6.00 pagi. Anak aku yang sulung nak amik PT3. Sayu juga rasa sebab aku tak ada masa dia nak amik exam besar tu. Tapi apa boleh buat.... hidup mesti diteruskan. Aku tak ada kat sisi dia pun, dia perlu juga duduki PT3.

Kawan aku kat Malaysia cakap, doa orang musafir ni mustajab. Maka berdoalah banyak-banyak. Insya-Allah dimakbulkan. Touching aku rasa masa tu... huhuhuhu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kena cabut ke?

Resepi Bihun Goreng Simple Tapi Sedap

Sambal hangit