Pilihan terbaik...yang mana satu?

Janji untuk membuat sambungan entri hari Isnin lalu tergendala sebentar sebab aku dan kumpulan ku mendapat satu misi mustahil dari langit, yang telah diperintahkan oleh si panjang. Maka, tak dapatlah aku mengotakan janji. Tapi hari ini aku akan ceritakan apakah dilema yang menyelubungi diri hingga terpaksa memilih antara dua.

Rumah ku, syurga ku. Inilah yang diharapkan oleh setiap orang. Masing-masing mempunyai cita-cita untuk memiliki rumah idaman. Namun harapan musnah apabila pemaju tidak bertanggungjawab gagal menyiapkan rumah yang telah dibeli tepat pada waktu yang dijanjikan. Inilah yang telah berlaku pada aku dan juga beribu-ribu pembeli rumah di Malaysia ketika ini.
Hak sebagai pembeli rumah diketepikan. Hanya baru-baru ini, suara pembeli rumah mula didengari. Itu pun hasil usaha pihak media yang prihatin. Namun usaha ini masih tidak menjamin keadilan di pihak pembeli rumah. Pembeli rumah masih tertindas. Dan pemaju rumah nampaknya masih kebal. Apakah tidak ada jalan penyelesaian bagi masalah ini? Aku tak mahu jawab sebab bukan bidang kuasa aku untuk menjawabnya. Pihak yang berwajib harus memikirkan jalan penyelesaian yang terbaik untuk semua dan pastinya adil kepada pembeli rumah yang menjadi mangsa.

Berbalik kepada pilihan yang aku harus buat. Minggu lalu aku telah menelefon pihak pemaju untuk mengetahui status pembinaan rumah ku yang terbengkalai di Puncak Jalil (tak payah nak rahsia-rahsia lagi sapa punya projek!). Menurut pegawai perhubungan pelanggan pemaju berkenaan, projek itu akan diambil alih oleh satu pemaju lain dan kerja-kerja pembinaan akan diteruskan pada bulan Jun nanti.

Lantas, aku membuat satu panggilan kepada bank untuk mengetahu sebanyak mana pinjaman ku telah dibayar kepada pemaju. Sehingga hari ini, bank telah membayar RM13k ++ lebih kurang 13%. Dan jika aku hendak membatalkan pinjaman atau membuat pay off disebabkan rumah tidak siap, aku harus menjelaskan RM14k ++ (termasuk kadar faedah). Persoalannya, jika aku membatalkan pinjaman tersebut sekali gus melepaskan tanggungan terhadap rumah yang tidak siap itu, aku akan kerugian RM14k ++ ditambah RM20k ++ yang telah ku bayar dahulu (10% + yuran guaman + deposit). Aku tak pasti sama ada boleh claim atau tidak kepada pemaju yang terlupa tanggungjawabnya itu. Dan sekiranya aku hendak membatalkan pembelian tersebut, terpaksa arahkan peguam untuk menguruskannya - yuran guaman terpaksa dibayar lagi.

Opsyen kedua yang aku ada ialah, teruskan transaksi; bermakna tunggulah sehingga pemaju baru menyiapkan rumah tersebut yang dijangka siap pertengahan bukan Julai 2007. Itu pun jika tiada apa-apa berlaku kepada pemaju itu atau kepada ekonomi. Yalah...harga minyak naik, tarif elektrik naik, BLR naik...entah apa pula yang naik lepas ni. Rumah aku juga yang tak naik-naik!

Hubby aku kata, kita tunggu sampai rumah tu siap? Kalau tak siap macam mana? Aku dah jadi fobia sebab takut pisang berbuah dua kali. Khuatir jika masalah lain yang timbul kelak. Bagi aku, buat pay off dan terpaksa menanggung kerugian. Lepas tu, tunggu dan lihat keadaan ekonomi, baru beli rumah lain yang dah siap! Aku ulangi...beli rumah yang dah siap. Gerenti tak terbengkalai. Biar rugi sekarang daripada rugi kemudian hari.

Tapi kebanyakan rakan-rakan aku menasihati supaya teruskan juga dengan pembelian rumah itu. Mungkin tak ada apa-apa yang berlaku sebab pemaju baru mempunyai reputasi yang baik. Masalahnya, pemaju lama tu pun reputasi dia baik gak. Tapi hampes berkilo-kilo!
Disebabkan aku memang sudah sakit hati tahap daigunder dan dah berpatah arang, aku memang tak nak dah rumah tu!

Tapi apa pendapat kamu semua?

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kena cabut ke?

Resepi Bihun Goreng Simple Tapi Sedap

Sambal hangit