Sofi

:: Sinopsis
Penafian Sofi Suryana terhadap dirinya telah melahirkan Ryan ? gadis tomboy yang lasak, keras kepala dan berhati waja. Persahabatannya dengan Zaihan begitu akrab sehingga menyembunyikan perasaan sebenar dalam diri masing-masing. Sungguhpun begitu, Zaihan tidak dapat menghidu kepahitan hidup yang dialami oleh Ryan di rumah.

Penderaan papa dan penderitaan mamanya hanya disimpan di dalam hati. Di rumah dia sengsara. Kebahagiaan hanya ditemui apabila berada di luar rumah bersama Zaihan dan rakan-rakan yang lain. Apabila Zaihan berkenalan dengan Fiona, belang papa yang disembunyikan selama ini terbongkar. Hasrat untuk menghentikan kekejaman papa terhadap mama seolah-olah akan berjaya.

Perhatian Zaihan mula berpaling apabila menyedari tipu helah Fiona dan kemunculan diri Sofi Suryana dalam diri Ryan. Namun berpeluangkah mereka mengecapi bahagia bersama? Mampukah Sofi Suryana menyelamatkan mama daripada kekejaman papa? Siapakah yang akan berkorban demi menyelamatkan orang yang disayangi? Peleraian konflik akan anda temui dalam Sofi.

:: Di Sebalik Tabir Penulisan
Idea timbul sewaktu masih menuntut di tingkatan enam. Penulisan terhenti apabila diterima masuk ke IPTA. Secara tidak sengaja terbaca sebuah artikel di akhbar berkenaan dengan satu pertandingan menulis novel remaja. Lantas penulisan novel ini disambung. Tidak sampai dua bulan, novel ini berjaya disiapkan. Kali pertama menghantar manuskrip kepada penerbit memang amat melucukan. Dengan manuskrip yang tidak dijilid langsung, tiada sinopsis cerita ditambah pula dengan jarak antara baris hanya selangkau (gara-gara brosur pertandingan yang dicetak salah).

Mujurlah editor syarikat ingin memberikan peluang dan memanggil saya untuk menjilid manuskrip serta menyediakan sinopsis novel. Tidak sampai hujung tahun, emak menerima panggilan telefon daripada syarikat tersebut. Alangkah gembiranya hati kerana cubaan pertama sebagai penulis novel remaja berjaya memenangi hadiah tempat pertama. Namun, langit tidak sentiasa cerah. Tapak yang ditempah untuk meraih kejayaan seterusnya dalam arena penulisan tidak kukuh. Syarikat penerbitan tersebut menghadapi masalah dalaman dan novel ini terpaksa diterbitkan oleh syarikat lain.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kena cabut ke?

Resepi Bihun Goreng Simple Tapi Sedap

Wadeh Udang