LRT

Al-Fatihah untuk mangsa bencana alam Tsunami....

Minggu ini memang sibuk selepas cuti dua hari (Jumaat dan Isnin). Majalah hendak disiapkan sebelum hujung minggu ini. Ada beberapa orang penulis masih belum menghantar artikel masing-masing. Maka episod kejar-mengejar sedang berlaku. Waktu inilah wajah yang sentiasa mengukir senyuman akan berkerut-kerut.

Masa cuti hari Isnin yang lalu, aku pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara di Maju Junction. Sampai saja di sana, nombor giliran sudah habis. Rasanya kesemua lokasi JPN Lembah Kelang akan merakamkan situasi yang sama. Tapi apa yang hendak aku sampaikan kali ini, bukanlah mengenai JPN. Tapi LRT.

Kalau dahulu, bas mini menjadi trend pengangkutan utama warga kota. Selepas itu era Intrakota dan bas Metro. Sekarang ini rata-rata warga kota lebih banyak menggunakan LRT (Star, Putra dan Monorail). Selari dengan kepesatan kecanggihan industri pengangkutan, warga kota juga pesat membangun dengan semangat 'kiasu'. Bukan hendak mengutuk, tapi itulah realiti yang berlaku.

Sengaja aku tidak mahu memandu kereta untuk ke Maju Junction. Sesekali bertukar angin menaiki pengangkutan awam, tak ada salahnya. Ini kali ketiga aku menaiki Star LRT dari stesen BTR untuk ke bandar raya. Dan kali yang ketiga ini aku menyaksikan betapa warga kota tidak lagi mempunyai semangat prihatin dan bertimbang rasa. Ada ke patut (tiru gaya Waheeda dalam iklan syampu) seorang wanita mengandung mendukung kanak-kanak berusia dua tahun dibiarkan berdiri dalam LRT yang sesak dengan penumpang?

Walaupun aku tak kisah (sebab masih dapat berpegang pada tiang), ada lah dua tiga orang penumpang yang berdiri risau melihat aku. Takut aku terjatuh jika LRT brek mengejut. Ada seorang kakak yang berdiri di depan aku, tawarkan diri hendak dukung Aliyah. Tapi si kecil tu tak mahu sebab dia tak kenal. Sengaja aku pandang wajah-wajah penumpang (lelaki terutamanya) yang sedang duduk. Masing-masing cuba mempamerkan wajah selamba dan 'innocent'. Ada juga yang melarikan pandangan. Tak rasa bersalah ke? Bukan hendak meminta simpati. Tapi cuba bayangkan situasi apabila kita duduk dan ada seorang tua atau cacat penglihatan hatta perempuan/lelaki mendukung anak yang terpaksa berdiri. Aku akan rasa bersalah dan malu jika buat pejam mata. Bukan masuk bakul angkat sendiri. Tapi itulah perasaan yang akan kurasa jika bersikap 'kiasu'.

Mujurlah ada insan (penumpang yang berdiri), tolong booking tempat duduk untuk aku apabila ada penumpang lain yang turun. Nampaknya masih ada yang prihatin. Tapi bilangannya semakin susut. Walaupun rakyat Malaysia pemurah (jika dilihat pada amalan menderma untuk kebajikan di peringkat nasional dan antarabangsa), semangat timbang rasa pada perkara-perkara yang kecil tidak patut dinyahaktifkan. Didiklah anak-anak kita untuk bertimbang rasa dan saling menghormati masyarakat sekeliling.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kena cabut ke?

Resepi Bihun Goreng Simple Tapi Sedap

Sambal hangit