Hari Keluarga

:: Hari Pertama
Kononnya nak bertolak awal, selepas sembahyang Jumaat. Tapi pilot utama turu pulak. Dah penat-penat kemas, teruja lagi, kena tunggu pilot tidur dulu. Akhirnya pukul 3.30 petang baru bertolak. Atas jalan sepanjang Lebuhraya Utara Selatan menghala ke exit PD, penuh dengan kenderaan berat - bapak lori, emak lori, anak lori, siput gergasi, belalang kunyit. Macam pesta pula. Alhamdulillah...sampai juga ke Kayns Resort walaupun tersesat hampir nak ke Melaka...wakakakaa. Gara-gara tak nampak papan tanda Politeknik Seremban. Lepas check-in, terus terjun dalam kolam. Aliyah paling gembira. Sampai merah-merah mata dan tenggelam beberapa kali sebab tak mau pakai pelampung. Bila malam menjelma, ada BBQ di tepi pantai. Paling seronok sebab dapat makan udang dengan sepuas-puas hati. Antara orang terakhir meninggalkan 'tempat kejadian'.

:: Hari Kedua
Lepas sarapan, terus berkumpul di padang resort untuk acara sukaneka. Tapi yang masuk bertanding cuma Aliyah - pertandingan kutip gula-gula. Puaslah menjerit-jerit suruh dia kutip banyak-banyak. Dapat 49 biji aje. Hm....jadilah untuk dia makan sorang. Ayah Aliyah, tahun ni jadi ayam pencen. Satu permainan pun tak mahu main. Agaknya takut terkena macam tahun lepas - tali untuk acara tarik tali putus semasa acara berlangsung. Tergeliat juga pinggang sebab terbalik ke belakang. Tahun ni tak ada pula acara ringan-ringan macam anyam ketupat. Kalau ada bolehlah ibu-ibu mengandung macam aku masuk. Nampaknya tahun ini jadi penonton setia sajalah.

Lepas makan tengah hari, aku terus terjun ke dalam kolam dengan Adora. Aliyah dan ayahnya sedap tidur. Tengah sedap-sedap berendam, Aliyah bangun. Hulur-hulur tangan di balkoni bilik minta didukung. Nak ikut sama mandi kolamlah. Ayahnya hantar turun. Mandi dalam setengah jam sebelum naik ke darat untuk minum petang.

Petang itu ada acara bola jaring dan bola sepak pantai. Sebelum acara bermula, sempat ukur pantai untuk menikmati keindahan yang telah tercemar dek sampah dan bau hanyir air longkang yang mengalir ke laut. Sayang sungguh pantai tak dijaga dengan baik.
Pada sebelah malam, ada acara in door. Aliyah masuk pertandingan mewarna gajah. Agaknya bolehlah ganti Picasso satu hari nanti walaupun tak menang.....

Sebaik saja acara selesai, terus pulang ke bilik sebab Aliyah dah mengantuk. Tak sempat nak tunggu acara meniup belon dan kuiz keluarga. Hujan turun agak lebat pada malam tu. Tambah nyenyak atas katil sampai pagi.

:: Hari Ketiga
Acara yang paling ditunggu-tunggu oleh semua orang iaitu acara penyampaian hadiah dan cabutan bertuah. Tahun ni tak bawa balik banyak hadiah. Cuma Aliyah dapat hadiah sagu hati - set penyodok pasir. Cabutan bertuah dapat air pot. Memang nak guna pun, jadi cabutan itu memang bertuah.

Sebelum makan tengah hari, sempat berendam di dalam kolam. Pakaian sudah siap dikemas. Jadi lepas mandi, terus check-out dan makan tengah hari buat kali terakhir di Kayns Resort. Tak singgah di mana-mana dan terus pulang ke rumah kerana kepenatan.

:: Review Kayns Resort
Resort ni baru beroperasi dalam dua ke tiga tahun yang lepas. Terletak jauh dari jalan utama. Keadaan bilik, agak memuaskan - walaupun tandas tak boleh flush. Makanan pun okay juga -sedap dan menyelerakan. Cuma air minuman selalu manis. Disebabkan keluasan resort tidak seberapa, maka kawasannya tidak mempunyai tempat letak kereta yang mencukupi. Sesetengah penginap terpaksa meletak kenderaan di tepi jalan.

Hanya satu perkara yang kurang menyenangkan. Bila tiba waktu malam, anak-anak muda bermotorsikal berderum-derum menuju ke pantai. Bunyi enjin motorsikal yang telah diubah suai benar-benar mengganggu keamanan tempat tersebut. Menurut seorang teman yang berasal dari situ, agak bahaya bagi pengunjung atau pelancong untuk berjalan-jalan di tepi pantai pada waktu itu. Hm...kawasan percutian pun dah tak selamat lagi?

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kena cabut ke?

Resepi Bihun Goreng Simple Tapi Sedap

Sambal hangit