Ketam Telur Asin

Selalunya resepi ni dimasak menggunakan ketam kulit lembut. Pertama kali aku cuba resepi ni adalah pada tahun 2010. Masa tu aku ikut resepi Chef Amy Beh, yang tersiar dalam seksyen Kuali The Star Online. Pautan pun dah 404: Page Not Found. Dan satu lagi resepi adalah daripada Chef Lee Kum Wong, Bangsar Seafood Restaurant. Jadi aku gabungkan kedua-dua resepi ni memandangkan ada bahan-bahan yang aku tak ada waktu tu.

Jadi separuh entri ni aku petik daripada blog lama aku yang tersiar pada 29 Ogos 2010. Berdasarkan bahan-bahan kat bawah ni, memang ada perbezaan antara resepi yang digunakan oleh Chef Amy dan Chef Lee. Terpulang pada korang nak ikut mana satu atau gabungkan macam yang aku buat.

Cara mengulahnya:

Untuk lihat cara yang digunakan oleh Chef Lee, korang boleh tengok kat Youtube. Klik SINI.

Ini cara Chef Amy:

1. Bersihkan ketam. Kalau tak tahu, boleh Google aje cara-cara nak siang ketam. Paling mudah, suruh aje pekerja pasar raya yang buatkan.

2. Selepas dibersihkan, potong 2 ataupun 4, seperti cara Chef Amy.

3. Kukus telur asin selama 3-4 minit. Kemudian kupas kulitnya dan ambil yang kuning sahaja. Lenyekkan telur asin kuning menggunakan garfu.

4. Bedakkan ketam dengan tepung ubi.

5. Goreng ketam dengan menggunakan minyak yang banyak sehingga kuning keemasan

6. Panaskan mentega dalam kuali. Gunakan kuali lain kalau malas nak salin minyak panas lepas goreng ketam tadi.

7. Tumis daun kari dan cili api sehingga wangi. Tambahkan telur asin kuning yang dah dilenyek tadi. kacau sebati

8. Tambahkan lada sulah, garam (atau serbuk ayam Knorr), gula dan susu pekat manis. Masukkan ketam. Gaul sebentar sehingga bersalut dengan bahan tumis.

9. Angkat dan hidangkan.



Ada banyak versi resepi ni kalau tengok di Internet. Contohnya tepung salut ketam. Chef Lee guna tepung kanji kentang, Amy Beh guna tepung ubi. Ada satu blog tu guna tepung jagung, aku ikut resepi ni sebab di rumah hanya ada tepung tu aje. Jadi ikut kesukaan dan kesenangan masing-masing. Bukannya jalan mati pun kalau bahan-bahan di rumah kita tak cukup. Aku tak letak pun daun kari. Sedap aje rasanya.

Cumanya ada cacat sikit. Biasalah aku dengan kitchen blunder-nya. Ada aje yang capek. Kalau ikutkan resepi Chef Amy Beh, dia stim telur asin tu 2-3 minit. Aku rasa macam tak berapa nak masak aje, kan? Kalau telur asin putih tu separuh masak, membazir aje tak ada sesapa nak makan. Lalu aku pun rebuslah (derhaka kat tok guru) telur lebih 5 minit. Kesudahannya, kuning telur susah nak hancurkan sebab liat. Jadi berketul-ketul (sebab tulah lawan tok guru).

Maka tak jadilah macam tekstur sos telur asin Chef Lee. Sebab tu kat dalam gambar, ada telur asin yang berketul-ketul. Walaupun masakan aku ni capek, tapi rasanya tetap sedap sebab mengikut resepi. Lain kali jangan pandai-pandai buat rumusan sendiri. Dengar kata chef sebab merekalah yang pro. Peringatan buat aku yang suka buat resepi baharu dan selalu buat kitchen blunder....huhuh.

Baru-baru ni aku ada masak resepi ni. Tapi menggunakan ketam kulit lembut. Nikmatnya berbeza sebab ketam kulit lembut ni lebih berjus dan boleh ngap setiap inci tubuh badannya. Tak payah membazir nak trim sepit tajam. Telan aje semua.

Kat mana nak beli ketam kulit lembut? Korang boleh beli kat Lubuk Lobster. Google aje. Nanti jumpalah FB atau IG mereka. Selain ketam, aku beli udang krai atau crayfish. Malang sekali berlaku kitchen blunder. Aku tak reti nak masak la walaupun dah ikut resepi. Yang mana dah terbelanda tu, tak payahlah tunjuk sini. Memalukan aje.

Aku gunakan telur asin dan juga sedikit telur putihnya. Sayang pula membazir. Dan bila dah campur sikit dengan telur putih tu, garam dan kiub ayam Knorr aku dah tak bubuh. Masih kut telur putih tu. Masin sangat kang, berdesing kepala.


Bahan-bahan (Chef Amy Beh)

1 kg ketam
1 cawan tepung ubi
3 butir kuning telur asin
5 butir cili api atau cili burung, dihiris
2 tangkai daun kari~aku tak letak sebab tak ada
3 sudu besar mentega
½ sudu teh garam atau secukup rasa~aku gantikan dengan kiub ayam Knorr
½ teh sudu lada sulah
1½-2 sudu teh gula
3 sudu besar susu pekat manis~aku tak letak sebab tak ada
Minyak untuk mengggoreng deep fry


Bahan-bahan Chef Lee

1 ekor ketam **aku guna 5 ekor ketam bunga
1 biji telur, dipukul
100gm tepung kanji kentang **aku guna tepung jagung
50gm telur asin kuning yang telah direbus
10gm cili api
15gm daun kari~aku tak letak sebab tak ada
3 sb mentega untuk menumis
1 sb gula
Serbuk stok ayam **aku guna kiub ayam Knorr





Telur masin merujuk kepada telur yang diawet dengan menggunakan garam bagi mengekalkan ketahanannya. Jenis telur masin yang paling popular ialah telur itik. Ini adalah kerana kuningnya yang lebih besar, tetapi telur ayam turut boleh dijadikan telur masin.
Telur masin pernah merupakan hasil perdagangan penting orang-orang [dari negara] China yang mengembara ke luar negara sebagai bahan bekal dan bahan perdagangan. Telur-telur ini disimpan di dalam tempayan yang kemudiannya turut dijual selepas telur di dalamnya habis digunakan.
Sumber: Wikipedia

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kena cabut ke?

Resepi Bihun Goreng Simple Tapi Sedap

Sambal hangit