Majal

Bererti tidak tajam, tumpul (bagi pisau dan pedang. Bererti benak dan fikiran. Kesimpulannya boleh dikatakan majal ini benak yang tumpul, tidak tajam. Fikiran yang tidak bijak membuat perhitungan. Ceh waahhh. Aku bukannya nak berbicara pasal bahasa ataupun kotoba pada pagi Rabu ni. Tapi aku nak tulis entri pasal sikap budak-budak sekarang yang MAJAL.

Kalau aku sebut aje perkataan MAJAL ni bermakna aku memang marah bangat. Semalam, sewaktu aku nak jemput anak-anak aku dan bibik dari rumah mak aku, ada sekumpulan anak-anak jiran mak aku yang sedang menghabiskan cuti sekolah mereka, begitu seronok bermain badminton.

Keseronokan dan semangat kesukanan mereka yang jitu itu terlalu tinggi sehingga menidakkan hak sebuah kenderaan mahu melalui jalan yang telah dijadikan gelanggang badminton haram. Walaupun dah nampak ada kereta mahu melalui jalan itu, dengan selambanya budak-budak yang berangan-angan nak jadi Misbun Sidek ni, langsung tidak mempedulikan kereta yang hendak lalu.

Aku memperlahankan had laju kenderaan di bawah 10km sejam sebab takut tergesel budak-budak MAJAL yang tak reti bahasa. Bila aku pandang dan jeling marah, boleh pula tunjuk muka tak puas hati macam nak ajak bergaduh. Kalau aku tak fikir panjang dan sedar diri, mahu saja aku turun dari kereta dan belasah aje budak-budak tu depan rumah mereka. Kalau MAK BAPAK mereka nak marah, aku akan marah balik MAK BAPAK mereka yang tak tahu menasihati anak-anak supaya menghormati orang lain.

Bila menyentuh perihal MAK BAPAK sekarang ni, aku perasan yang MAK BAPAK zaman sekarang rata-ratanya memang tidak tahu apa yang dilakukan oleh anak-anak mereka. Disebabkan tidak tahu, mereka akan menganggap anak-anak mereka baik dan benar sehingga cikgu yang hendak menghukum kerana mendidik pun boleh disaman. MAK BAPAK zaman sekarang, rata-ratanya, tidak mahu memarahi apatah lagi memukul anak-anak dengan tujuan mendidik. Disebabkan anak-anak tidak dihukum dan dipukul (bukan sampai cedera ataupun mati), anak-anak jadi naik lemak dan tidak takut kepada MAK BAPAK, cikgu dan orang lain. Keadaan ini amat berbeza jika dibandingkan dengan zaman dahulu, iaitu MAK BAPAK dan cikgu mengajar atau mendidik menggunakan rotan. Aku tak mahu bagi huraian panjang pasal hal ni. Jadi fikirlah sendiri.

Seperkara lagi, budak-budak tadi yang menjadikan jalan raya sebagai gelanggang badminton, memang mereka tidak patut dipersalahkan sepenuhnya. Kesalahan mereka cuma menjadi MAJAL dan tidak menghormati orang lain. Sebab apa mereka jadikan jalan raya tempat bermain? Jawapannya mudah, majlis bandaran/pembina perumahan tidak menyediakan kawasan yang sesuai untuk budak-budak tadi beriadah. Dan kalau ada pun, menjadi peranan MAK BAPAK mendidik mereka menggunakan kemudahan yang ada. Jika semua orang berlaku ADIL (bermaksud meletakkan sesuatu di tempatnya yang betul), aku jamin semua masalah yang ada dapat diselesaikan dengan cara yang paling berhemah.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kena cabut ke?

Resepi Bihun Goreng Simple Tapi Sedap

Sambal hangit