Pasta

Aku memang suka makan...pasta dan mi. Kali ini aku nak bercerita mengenai pasta. Sejak bila aku mula meminati pasta...entah. Aku sendiri tak ingat. Pasta yang mula-mula aku kenali ialah makaroni. Mak aku selalu goreng dan buat sup. Kemudian aku pandai-pandai belajar makan spageti.

Marco Polo telah dikatakan memperkenalkan pasta ke Itali selepas pelayaran beliau ke negeri China. Orang-orang Cina memang sudah tahu membuat mi sejak dahulu lagi. Ada juga lagenda yang mengatakan bahawa seorang pelayar Itali telah meminta perempuan simpanannya yang berasal daripada China untuk mengajar cara membuat mi. Malangnya mi yang dibuat menjadi lebar sehinggalah lahirnya pasta. Betul atau tidak, ini hanya lagenda.

Pasta dimasak dengan cara merebus air sehingga mendidih. Masukkan pasta sehingga tenggelam dan kacau sentiasa agar tidak melekat. Ada petua mengatakan titikkan sedikit minyak zaitun atau minyak sawit ke dalam air. Masak pasta sehingga al dente. Maknanya jangan terlalu masak sehingga lembik. Keras sikit tak apa sebab pasta akan terus masak walaupun sudah dikeluarkan daripada air panas. Selepas itu, angkat pasta ke dalam tapis atau bekas berlubang dan bilas dengan air paip sehingga sejuk. Jadi pasta tak de lah melekat.

Menurut kata orang Itali, orang Amerika selalu suka pasta mereka dimakan dengan kuah yang banyak. Ni ibarat macam orang kitalah. Makan pasta macam makan mi bandung atau mi sup. Aku pernah terkena masa buat open house dulu. Kuah habis dulu, pasta masih banyak. Sudahnya aku terpaksa cairkan kuah, dah tak original. Puas aku cakap yang kalau makan pasta, kuahnya sikit aje. Cukup untuk membasahkan sedikit pasta dengan kuah. Bukan macam makan mi sup! Tapi depa tak paham. Tetap gak nak banjirkan pasta ngan kuah. Akhirnya aku terpaksa improvise resepi, cairkan kuah atau goreng pasta ngan kuah. Masa besday Nurin tahun lepas, aku goreng aje spageti tuh ngan kuah dia. Sedap jugak!

Pasta ada banyak jenis. Jenis yang familiar dengan kita ialah spageti dan makaroni. Kegemaran aku tentulah spageti, makaroni, fettuccine, lasagna dan penne. Pasta ni ada bermacam-macam bentuk: yang panjang halus (angel hair), yang macam buluh, macam siput (jumbo shell) dan banyak lagi. Kalau nak tahu jenis pasta, klik sini http://en.wikipedia.org/wiki/List_of_pasta. Kalau nak tahu resepi pasta antarabangsa, klik sini http://www.barillaus.com/.
Kali ini aku nak kongsi resepi spageti yang selalu aku buat. Tapi bukan yang asli Itali atau Amerika, tapi yang sesuai dengan tekak aku sebagai orang Melayu.



Spageti ala selera Aku

Bahan-bahan:

Pasta spageti sebungkus
Sepeket Perencah spageti bolognaise Maggi
Sebotol Sos spageti (tak kita apa jenama, apa perisa, ikut selera)
Satu pek daging hancur Ramlee (pek kecil) - basuh dan toskan2 biji tomato masak ranum - potong dadu kecil
Beberapa batang lobak merah - dikisar halus (untuk memekatkan kuah)
1 biji bawang besar - potong dadu kecil
Setin cendawan butang - potong nipis
4 keping hotdog (aku selalu guna jenama Ayamas perisa cendawan atau black pepper) - potong nipis serong
3 sudu cili kisar (letak banyak kalau suka pedas)
Oregano secukup rasa
Garam secukup rasa
Keju parmesan parut secukup rasaMinyak masak (sawit atau zaitun)

Cara mengulahnya:

Didihkan air di dalam periuk. Setelah air mendidih, masukkan spageti dan sedikit minyak masak agar spageti tidak melekat. Sentiasa kacau agar spageti masak rata. Masa spageti sehingga al dente. Kemudian angkat spageti dan toskan sebelum bilas dengan air biasa. Keringkan spagetidalam tapis atau bekas berlubang.

Untuk kuah, panaskan periuk dengan minyak sawit atau zaitun. Kalau guna minyak zaitun, rasanya enak sedikit. Setelah minyak panas, tumiskan bawang sehingga kekuningan dan naik bau. Masukkan cili kisar dan goreng sehingga agak garing. Kemudian masukkan daging hancur. Kacau sehingga daging agak masak. Masukkan tomato, cendawan butang dan hotdog. kacau hingga sebati. Selepas itu masukkan perencah Maggi bolognaise, sebotol sos spageti dan lobak kisar. Campurkan setengah gelas air. Kacau hingga rata. Apabila kuah mendidih, masukkan garam secukup rasa dan oregano. Akhir sekali masukkan keju parmesan parut. Biarkan beberapa minit sebelum tutup api.

Kalau nak kuah pekat, jangan letak banyak air. Tapi kalau nak buat sup, letaklah banyak air. Kalau nak goreng, ambil sos yang telah masak (ikut sukatan masing-masing), tumiskan di dalam kuali sebelum campurkan spageti ke dalamnya dan gaul rata. Macam masak mi goreng aje. Cuma masaknya sekejap aje. Lima minit gitu sebab kuah tadi dah masak.

Ada sesetengah orang suka letak rempah kari. Sayur campur pun boleh letak juga. Yang di bawah ni, resepi spageti paling simple yang pernah diajarkan oleh kawan sekolah aku Suriaini (la ni dah jadi cikgu kat sekolah rendah aku dulu...hehehehe). Dialah orang pertama yang ajar aku cara nak makan spageti.

Spageti simple

Bahan-bahan:
Sepeket spageti
Setin besar tomato puri
Sayur campur beku
Bawang besar dipotong dadu
Udang (sotong atau ayam pun boleh)
Garam secukup rasa

Cara-cara:
Rebus spageti seperti cara tadi. Untuk kuah, panaskan minyak dalam periuk. Tumis bawang sehingga kekuningan. Masukkan udang yang telah dibuang kulit. Setelah udang bertukar warna, masukkan sayur campur. Gaul rata sebelum masukkan tomato puri. Letak garam. Masak sehinggakuah mendidih. Tutup api. Letakkan spageti dalam pinggan dan letak kuah. Gaul dan terus makan.

Kalau tak sempat nak shopping untuk resepi pertama tuh, buat aje resepi simple nih. Sedapgak.
Selamat mencuba. Kalau dah cuba, bagitau ek. Boleh kita tukar cita rasa Malaysia!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kena cabut ke?

Resepi Bihun Goreng Simple Tapi Sedap

Sambal hangit