Aidil Fitri yang ku idamkan


Minggu depan dah raya. Lagu raya pula semakin rancak berkumandang di corong radio tak kira masa. Tak cukup dengan itu, di pejabat, ada pula MP3 lagu raya kedengaran melalui speaker PC. Meriah sungguh! Dalam konti radio pun ada lampu lip lap lip lap dan lampu ketupat.

Bila dengar lagu raya, serta-merta ingatan aku diputar mengingati raya sewaktu zaman kanak-kanak. Masa tu, raya mengandungi sejuta makna. Walaupun tak pernah berjaya puasa penuh (masa sekolah rendah), raya tetap raya. Berjalan dari rumah ke rumah mengutip duit raya. 50 sen dikira mewah. Kalau satu ringgit pula sudah dikira super mewah. Kesempatan berhari raya ke rumah jiran-jiran (kebanyakannya aku tak kenal, main masuk ajer rumah sapa), aku manfaatkan dengan memerhati gaya kehidupan mereka. Kawasan rumah aku dulu (sebuah kampung Melayu yang dah tak wujud lagi akibat pembangunan) terletak bersebelahan dengan perumahan kawasan elit di atas bukit. Jadi dapatlah beraya di rumah-rumah gadang yang punya pagar tinggi. Waktu itu aku kepingin bangat hendak hidup senang dan selesa seperti mereka.

Bila masuk alam remaja (sekolah menengah), aku semakin tahu menghargai kehadiran Ramadan; satu bulan penuh keajaiban dan ketenangan. Tambahan pula ketika itu aku sekolah berasrama di kawasan kampung. Memang terasa kemeriahan sambutan Ramadan dengan tadarus, terawih, sahur bangun pukul 4 pagi. Hingga aku pulang ke KL untuk beraya, semangat Ramadan masih bersisa. Kali ini, aku tidak lagi berhari raya ke rumah jiran yang tak ku kenali. Rayauan raya lebih terfokus kepada saudara mara. Waktu itu aku kepingin untuk berhari raya bersama-sama rakan-rakan sebaya beramai-ramai, lagak seorang remaja berhari raya. Kebanyakan rakan-rakan sekolah aku di negeri lain. Jadi bila pulang ke KL, tak ada kawan...sedih betul. Harapkan sepupu aje. Itu pun kadang-kadang tak boleh harap.

Bila sudah bekerja, pada tahun pertama itu aku sudah mampu membeli kereta. Dapatlah bawa mak dan adik-adik pulang beraya ke kampung, menziarah sedara mara yang tak pernah aku kenali, berjalan ke rumah bakal mentua. Tahun kedua bekerja, aku beraya dengan suami dan mentua pula. Lain ceritanya. Tambahan pula bila dah ada anak-anak. Hari raya hanya untuk mereka. Semangat raya yang dulu dah tak singgah ke jiwa aku. Keajaiban Ramadan hilang entah ke mana ditelan kesibukan aku sendiri.

Aku cuba kembalikan keajaiban Ramadan dan kemeriahan Syawal, tapi hingga hari ini masih tak kunjung tiba. Ke mana hilangnya keajaiban itu, mana hilangnya kemeriahan itu? Mungkin hanya satu sebabnya. Dahulu masa zaman budak-budak (kanak-kanak dan remaja) di dalam fikiran tak ada apa yang nak difikirkan sangat. Kini, dah memegang banyak jawatan penting - kuli pejabat, pengurus rumah tangga, pengasuh anak-anak, amah kemas rumah, chef, jururawat merangkap doktor, pemandu, menteri kewangan kedua, pegawai kebajikan adik-beradik dan ahli fikir. Agaknya aku dah terlalu sibuk hingga tidak sempat hendak menghargai keajaiban Ramadan dan kemeriahan Syawal.

Masa hanya singgah sekali dalam hidup. Saat ini tidak akan sama dengan saat yang akan datang. Minit ini tidak akan berulang lagi. Jam ini tidak akan berlaku lagi. Hari ini tidak mungkin menjelma lagi. Tahun ini tetap akan berlalu tanpa henti. Masa tak menunggu kita. Oleh itu, hargailah setiap detik dan saat yang ada kerana mungkin selepas ini kita tidak berpeluang lagi merasainya.

P/S: Aku rindu duit raya lima kupang, tabung raya tin Bird Custard, kasut tumit tinggi bereben, baju kembang warna-warni!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kena cabut ke?

Resepi Bihun Goreng Simple Tapi Sedap

Sambal hangit