Sepetang di pejabat Tun Dr. M

Memandangkan sudah dua bulan kami menghantar surat untuk menemu bual beliau, kami menyangka yang beliau tidak punyai masa untuk bertemu dengan kami - wartawan/penulis macam kami. Tapi ternyata sangkaan itu jauh meleset. 48 jam sebelum temu bual sebenar dijadualkan berlangung, kami menerima panggilan daripada pembantu beliau menyatakan yang beliau bersetuju untuk ditemu ramah oleh kami.

Seperti yang telah kami jangka, ramai yang mahu mengikut rombongan cik Kiah ke KLCC ini. Antara yang mahu mengikut termasuk mereka yang tidak berkenaan langsung. Ada ke patut? Eceh...bukannya apa cuma kami pergi atas alasan rasmi. Tak perlulah escort satu team macam team bola pula. Mentang-mentanglah tengah demam Piala Dunia. Nak ke pejabat Tun pun mesti turun kesebelasan utama ke?

Pada petang yang telah ditetapkan, kami berlima - editor, penyelidik, jurugambar, jurukamera video dan pemandu bergerak meninggalkan markas untuk menuju ke menara berkembar dengan semangat yang berkobar-kobar hatta Jalur Gemilang berkibar di Dataran Merdeka.
Pertamanya, kerana berpeluang bersua muka dengan Tun. Keduanya, sebab dapat naik ke KLCC. Bukan selalu dapat peluang sebegini.

Sebaik tiba di KLCC, kami disambut oleh pegawai yang bertugas dan diiring masuk ke dalam KLCC. Dengan kawalan yang begitu ketat, dan terpaksa bertukar lif sebanyak tiga kali sebelum sampai ke destinasi, benar-benar memberikan kami pengalaman baru. Mungkin mereka yang dah biasa turun naik KLCC tak rasa apa lagi dah. Kami ni tak pernah sampai ke sana. Jadi macam rusa masuk kampung.

Sementara menanti Tun selesai berurusan dengan tetamunya, kami sempat bergambar di bilik menunggu di tingkat yang agak tinggi itu. Memang kembang lubang hidung sewaktu memandang ke luar dari ketinggian itu. Kereta dan bangunan nampak macam lego yang tersusun rapi. Gayat jugalah rasanya.

Tiba saat untuk menemuramah Tun. Kami menaiki lif yang terakhir untuk ke pejabat beliau. Saat ini merupakan saat paling berharga kerana diberi peluang untuk berbual dengan bekas pemimpin negara itu dalam suasana yang agak santai. Layanan ramah yang diberikan memang benar-benar mengharukan.

Selepas selesai sesi temuramah, kami dibawa berjalan-jalan di jambatan penghubung antara Menara 1 dan Menara 2. Sekali lagi macam rusa masuk kampung. Pada mulanya gayat, tapi lama-kelamaan berasa seronok pula. Puas bergambar dan berjalan dari hujung sini ke hujung sana, kami meninggalkan menara kebanggaan itu.

Di dalam pacuan empat roda yang kami naiki, kesemuanya tersenyum lebar dan kembang hidung kerana dapat peluang seperti itu. Alangkah bagusnya jika dapat menjadi sebahagian daripada penghuni menara berkembar itu...ekekekekekekek.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kena cabut ke?

Resepi Bihun Goreng Simple Tapi Sedap

Sambal hangit