Tteokbokki

Ini satu lagi makanan kegilaan anak-anak aku selaim kimchi. Dah dua-dua anak dara aku peminat TBS eh... BTS... maka segala mak nenek makanan Korea nak dicuba. Aku pula lebih kepada Anime Jepun. Maka segala mak nenek makanan Jepun aku suka. Mujur anak-anak aku jenis telan aje apa mak dia sumbat. Mudah nak bawa ke majlis. Tak memilih gitu. Tak la kecik ati tuan rumah nanti bila anak-anak kita memilih makan.

Walau kadang-kadang kat rumah ni, memilih juga bila menu tak kena tekak dorang. Tapi aku sound bertepek-tepek. Bab-bab meleter ni aku memang dah champion tahap giga. Lagipun aku tak suka dorang merungut pasal makanan. Mulalah aku bersyarah, orang kat Afrika sana, makan tanah, batu. Kita kat sini, makanan dibuang-buang.

Dah selalu aku sumbat makanan mahal-mahal. Apa salahnya sekali sekala makan ikan kering cicah sambal belacan. Uish... bagi aku sedap sangat dah menu tu. Tambah nasi 2-3 kali. Budak-budak ni kalau menu tak kena anak tekak, mulalah nak masak rameon/ramyun.

Mi segera haram masuk rumah aku. Husband memang tak suka. Maka bebudak ni pandai la seludup sendiri. Beli sorok-sorok (kadang-kadang aku belikan juga sebab teringin.... miahahha). Tapi tak la selalu. 'Kaddang-kaddang', bak kata Nujum Pak Belalang.

Selain ramyun, dorang layan gak tteokbokki. Aku selalu salah sebut nama makanan ni. Jadi lucah pulak kang kalau aku taip kat sini.... hahahaha.

Macam biasa, resepi makanan seumpama ni aku jumpa terviral kat FB. Tak la susah mana nak membuatnya. Resepi ni disampaikan dalam bahasa santai sangat. Jadi untuk paparan blog ni, aku kasi edit la.

Sebelum dan selepas dimandikan dengan sos gochujang


Bahan utk rice cake:
*sukat guna cawan yg sama*

1 cawan tepung beras pulut
1/2 cawan air + 1 sdt garam (larutkan)

Cara:

Campurkan dan uli kedua-dua bahan. Uli dalam seminit dua. Adunan tak melekat pada tangan. kalau melekat, letak sikit tepung pulut. Doh mesti dalam keadaan lembut dan boleh uli. Jangan pula keras kedengkang baling kat dinding, dinding retak... kikikiki. Dan jangan pula doh tu berderai macam roti kirai. Kalau berderai juga, basahkan tangan dan uli lagi dan lagi. Mesti jadi punyalah kalau ikut sukatan kat atas tu. Melainkan korang derhaka resepi. Memang buat tang mana pun, failed!

Sebelum uli untuk dibentukkan menjadi tteokbokki, panaskan 3 cawan air dalam periuk. Letak 1 sudu minyak dalam air supaya masa nak rebus tteokbokki nanti, adunan tak melekat.

Taburkan sedikit tepung pulut ke atas meja atau talam atau board supaya senang nak menguli. Bahagikan doh/adunan kepada 4 hingga 6 bahagian. Ikut besar mana korang nak saiz tteokbokki.

Ambil satu bahagian doh dan tutupkan baki doh lain dengan kain bersih yang lembab supaya doh tak mengering.

Uli panjang-panjang ikut saiz yang sesuai. Korang pernah makan atau tengok tteokbokki kan? Tentu tau besar mana nak uli. Bila dah uli panjang-panjang macam tali, potong pendek-pendek. Anggaran dalam 3 ruas jari. Kalo jari korang panjang, 2 ruas aje dah cukup kot. Jari aku pendek... hehehe.

Uli dan potong sampai habis.

Kemudian rebuskan ketulan tteokbokki. Jangan banyak sangat. Bila dah nampak macam nak timbul tu, terus cedok dengan sudip berlubang dan toskan dalam tapis. Tak perlu rebus lama-lama sebab tteokbokki ni kenyal-kenyal liat gitu. Kalau rebus lama sangat, lembik. Tak jadi. Masak sampai habis kesemua adunan tadi.

Simpan satu senduk air rebusan tteokbokki untuk digunakan masa membuat sos.

Bahan utk sos 
**Utk seorang mkn**
Kalau lebih daripada sorang, korang gandakan saja adunan sos ni

1 sdb Gochujang (korean chili paste)
**Boleh beli kat Jaya Grocer (kalau kat area aku JG ni ada kat D'Pulze Cyberjaya dan Bangi Gateway)
1 sdb sos cili
1 sdb sos tomato
1 senduk air rebusan rice cake

Cara:
Aduk semua bahan dalam satu bekas. Air rebusan tu letak sedikit demi sedikit. Kalau nak sos pekat, boleh kurangkan.

Gochujang yang dijual kat Jaya Groce, D'Pulze Cyberjaya


Kalau tak jumpa juga gochujang ni, boleh buat sendiri. Ikut resepi ni:

Bahan:
1 senduk sos cili
1 senduk sos tomato
1 sdt cuka
1/2 sdt garam
1 sdt serbuk cili
1 sdt kicap karamel/pekat /gula perang

** Tapi rasa takkan jadi 100% sama sbb gochujang ada mustard dan cili korea.

Cara:
Adukkan kesemuanya hingga jadi paste.

Sumber resepi: FB Yuss Aisya tapi aku dah olah balik

Aku tak pernah try buat sos home made ni sebab memang guna gochujang aje.

Bila sos dah siap, ambil bekas besar. Letak tteokbokki. Masukkan sos dan tabur dnegan bijan sangai. Kalau suka lah. Boleh juga rebus fishcake, bebola ikan dan telur. Masukkan sekali dalam bekas masa nak gaul dengan kuah. Nak tabur daun bawang pun okey. Lagi kaw.

Anak-anak aku boleh buat sendiri tteokbokki ni. Sebab si Kak Yin tu suka main slime. Jadi agaknya, masa uli tteokbokki tu, dia rasa macam main slime. Apa-apa jelah anak oi. Janji lepas masak, dapur kasi kemas kalau tak nak tengok mak korang jadi godzila.

Entri ni bertarikh 20 September 2018, tapi aku tulis pada 24 Feb 2019. Kira back dated entry la ni. Aku cuma masukkan resepi. Karangan lain, aku baru tulis. Baru-baru ni aku terjumpa satu produk dari Marimogo. Tteokbokki instant. Rice cake tu korang perlu rebus aje dan kemudian masak sekali dengan sos dalam tin yang dipakejkan sekali.

Boleh cari kat IG Marimogo

Anak-anak aku suka version ni. Bagi aku, strong sangat rasa sos tu. Aku lebih suka guna gochujang O'Food. Ikut anak tekak masing-masing la ek.





Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kena cabut ke?

Resepi Bihun Goreng Simple Tapi Sedap

Sambal hangit