Tak mengapa mengalah

Sikap tidak mahu mengalah dalam melakukan sesuatu memang merupakan sikap positif. Jika seseorang tidak tahu mengalah apabila memburu cita-cita atau dalam kerjaya, bermakna orang itu seorang yang cekal dan tabah menghadapi dugaan. Orang jenis ini tidak mudah berputus asa dalam melakukan sesuatu pekerjaan yang mendatangkan faedah dan kebaikan.

Namun sikap tidak mahu mengalah boleh mendatangkan bahaya jika di atas jalan raya. Pagi tadi, seperti pagi-pagi sebelumnya semenjak bermula minggu ini, Jalan Cheras-Loke Yew aku redah semula setelah berbulan-bulan lamanya aku cuba mengelak jalan raja segala kesesakan itu. Cikgu kat sekolah memandu ajar, kalau ada susur keluar, pemandu jalan utama dan pemandu jalan susur keluar haruslah masuk berselang-seli. Maknanya bergilir-gilir sebab sama-sama nak lalu jalan yang sama. Maka tersebutlah alkisah seekor sang kancil berwarna putih yang lalu di atas jalan utama yang enggan mengalah kepada seekor lagi sang kelisa biru yang menyusur keluar. Disebabkan kedua-duanya bersaiz mini, maka mereka berkongsi satu lane disebabkan sang kancil putih tadi enggan mengalah memberi laluan.

Semakin lama laluan semakin sempit. Sang kancil putih yang enggan mengalah tadi secara semula jadinya terpaksa masuk ke lane tengah, menghimpit pemandu lane tersebut semata-mata kerana tidak mahu mengalah kepada kelisa biru. Maka tiba-tiba datang seekor kuda besi berenjin yang sarat dengan muatan. Disebabkan sang kancil putih telah duduk atas garisan dan menyempitkan keadaan jalan raya yang tersenggut-senggut, kuda besi tak boleh lalu.

Mujur keadaan ini tidak berlanjutan. Sang kelisa biru yang melihat sikap sang kancil putih yang tak mahu mengalah, terus memecut ke hadapan memberikan ruang kepada yang tak mahu mengalah tadi masuk ke lanenya semua. Kalaulah aral melintang, boleh kemalangan tadi hanya disebabkan sikap tidak mahu mengalah pemandu sang kancil itu.

Sekali lagi, tidak sampai lima minit kejadian itu, seekor sang kancil dari lane tengah hendak masuk ke lane kiri di hadapan sang kancil putih tadi. Dan sekali lagi sang kancil putih enggan mengalah walaupun sang kancil yang satu lagi telah memberikan lampu isyarat yang tak henti-henti berkelip. Mungkin kerana marah, sang kancil itu terus masuk juga ke lane kiri itu menyebabkan sang kancil putih terpinga-pinga. Padan muka! Kedekut sangat tak nak bagi laluan, kan orang dah buat jahat.

Inilah sikap tidak mahu mengalah yang kadang-kadang menyusahkan orang lain. Apa salahnya mengalah walaupun kadang-kadang kita sakit hati kerana terpaksa beri laluan kepada pemandu yang suka potong que. Daripada berlaku kemalangan, lebih baik mengalah. Tak ada sesapa yang susah.

Sesungguhnya anda mampu mengubahnya!

Ulasan

  1. Mengalah bukannya bererti kalah. Mengalah bermaksud kita beralah supaya semua orang tak susah dan tak ada yang cedera parah.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kena cabut ke?

Sambal hangit

Resepi Bihun Goreng Simple Tapi Sedap