Kenalan baru

Dua hari lepas aku menghadiri satu bengkel mengenai cara penyediaan rancangan perniagaan. Pada mulanya rasa gugup juga. Maklumlah sudah lama tidak berbengkel. Rasa macam masuk kelas balik. Rata-rata peserta sudah berkeluarga atau berumur lebih 30-an. Hanya dua orang sahaja yang masih muda dan belum berkeluarga. Agaknya bidang keusahawanan ini masih belum mampu menarik minat golongan muda sepenuhnya.

Aku agak kagum dengan seorang anak muda yang sekumpulan denganku. Umurnya baru mencecah 21 tahun tetapi dalam akaun simpanannya sudah ada RM18,000.00. Dia mempunyai perniagaan pembekalan kek dan kuih yang dikongsi bersama ibunya. Oleh sebab tidak tahu apa yang boleh dilakukannya dengan wang sebanyak itu, maka dia pun menghadiri kursus ini untuk mencari peluang baru. Anak muda ini mengaku bahawa dia lebih suka berkawan dengan orang yang lebih tua daripadanya berbanding rakan sebaya. Pada pandangan aku, anak muda sebayanya rata-rata masih merempit di atas jalan raya dengan masa depan yang samar-samar.
Memang susah hendak berjumpa dengan orang seperti ini. Aku harap dia tidak tersasar daripada landasan yang betul kerana dugaan datang dalam pelbagai bentuk.
Dalam usia aku yang akan mencecah 30 pada 4 April nanti, aku masih berkira-kira sama ada tindakan aku untuk menukar kerjaya ialah satu tindakan yang wajar. Bekerja sendiri atau menjadi usahawan bukanlah satu kerjaya yang mudah. Segala-galanya harus bermula daripada bawah sekali lagi. Jatuh bangun bergantung kepada kebolehan diri sendiri. Faktor ini yang kadang-kadang membuat aku berfikir dua kali.

Namun, kalau bukan sekarang bila lagi? Anjakan harus dibuat, jika tidak usia yang semakin memamah diri akan melemahkan semangat. Hasrat untuk mencabar kebolehan diri tidak akan kesampaian lantaran aku tidak akan tahu sejauh mana potensiku dalam kerjaya. Jika hendak mengharapkan kerjaya sekarang, boleh dikatakan aku akan selama-lamanya berada dalam lingkungan 'zon selamat'. Masuk pejabat pukul 8 pagi, edit buku/artikel, balik pukul 4.30 petang dan proses ini akan berterusan sehinggalah nyawa bercerai dari badan.

Berbanding dengan kerjaya terdahulu di bahagian jualan dan pemasaran, setiap minit kebolehanku dicabar. Satu pengalaman yang amat menyeronokan. Tetapi disebabkan waktu itu aku telah memilih untuk mengutamakan komitmen kepada keluarga yang baru hendak berkembang - kelahiran Aliyah menyebabkan keutamaanku berubah - aku terpaksa melepaskan jawatan itu. Sebelum aku pergi, CEO syarikat itu membuat andaian bahawa kerjaya baruku itu tidak akan bertahan lama kerana menurutnya aku bukan jenis yang suka duduk dan tunduk membuat kerja. Mungkin setelah dua tahun ini, telahannya benar.

Sudah sampai masanya aku kembali mencabar diri. Kalau dahulu kelahiran Aliyah menyebabkan aku memilih 'zon selamat', tapi dengan kelahiran yang bakal menjelang ini - mungkin tarikhnya akan sama dengan tarikh kelahiranku - aku akan kembali masuk ke 'zon perang'. Kali ini aku akan berperang dengan kebolehan diri sendiri. Kebimbangan dan ketakutan tetap ada, namun rancangan sokongan atau contigency plan telah difikirkan sekiranya tindakanku tidak mendatangkan hasil yang sepatutnya. Harap-harap apa yang dirancang, akan membuahkan hasil yang berbaloi.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kena cabut ke?

Resepi Bihun Goreng Simple Tapi Sedap

Sambal hangit