Baik-baik memilih kekasih...pesanan Arjuna kepada Srikandi

Baik-baik menanam selasih,
Jangan sampai jatuh ke tanah;
Baik-baik memilih kekasih;
Jangan sampai badan merana.

Siti Wan kembang perintah kelantan,
Nama termasyhur zaman dahulu;
Baik-baik memilih intan,
Takut terkena kaca dan batu.

Pilih-pilih tempat mandi,
Pertama teluk kedua pantai;
Pilih-pilih tempat menjadi,
Pertama elok kedua pandai.

Tema yang saya bawakan dalam Srikandi vs Arjuna agak berat. Ini cubaan pertama saya meneroka satu permasalahan 'alah bisa tegal biasa' yang sering berlaku dalam masyarakat kita. Berdasarkan laporan kajian oleh Woman Aid’s Organization (WAO) atau Pertubuhan Pertolongan Wanita  bertajuk “Battered Women in Malaysia: Prevalence, Problems and Public Attitudes 1995”, hasil dua kajian yang telah dijalankan antara tahun 1990 dengan 1992 menganggarkan pada tahun 1989, sebanyak 1.8 juta atau 39 peratus wanita berumur 15 tahun ke atas telah didera  oleh suami dan pasangan mereka. Hanya 909 wanita sahaja yang melaporkan kejadian tersebut. Ini kes yang dilaporkan. Bagaimana pula dengan kes yang tidak dilaporkan?

Dengan sikap masyarakat kita yang suka 'sembunyi pekung di dada' dan 'menyapu sampah ke bawah tikar', kes keganasan rumah tangga sering disembunyikan daripada pandangan mata umum. Bagi wanita yang terdera, jarang keadilan akan berpihak kepada mereka.

Pertamanya kerana keengganan mereka membuat laporan atau mendapatkan bantuan. Mereka percaya bahawa segala-galanya akan kembali baik. Tetapi apabila penderaan berulang, keadaan akan bertambah buruk sehingga memaksa mereka memencilkan diri, menahan emosi sehingga menyeksa diri sendiri.

Keduanya, tidak ramai yang tahu mengenai saluran undang-undang yang diperuntukan untuk membela nasib wanita yang terdera.

Ketiga, kurangnya sokongan moral daripada ahli keluarga dan rakan-rakan mangsa. Kebanyakan orang akan menuding jari kepada mangsa kerana dikatakan penyebab penderaan itu berlaku ke atas mereka.

Sebarang penjelasan lanjut mengenai perkara ini, bolehlah dirujuk ke laman Woman Aid’s Organization (WAO). Semasa entri ini ditulis, lama WAO sedang dinaik taraf.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kena cabut ke?

Resepi Bihun Goreng Simple Tapi Sedap

Sambal hangit