Aku menulis bukan kerna nama

Sudah lama ku biarkan blog ini sepi tanpa coretan, kecuali ucapan Selamat Hari Raya. Selepas melalui beberapa perkara yang bangkit bagai cendawan selepas hujan dalam dunia penulisan, aku bagaikan terpanggil untuk menghidupkan blog ini dalam suasana yang lebih serius. Kali ini aku bukan sahaja akan membincangkan mengenai novel-novel ku, malah akan ku kupas dan ku paparkan berita-berita yang muncul di mana-mana yang berkaitan dengan dunia sastera.

Semalam melalui Yahoo! Messenger, seorang rakan penulis
Najwa Aiman memberitahu ku mengenai beberapa keratan akhbar siaran Utusan/Mingguan Malaysia mengenai penulisan sastera. Aku yang selama ini memang terasa ada bahang yang wujud antara penggiat novel popular dan penggiat sastera, terus terpanggil untuk membaca petikan-petikan tersebut.

Walaupun bukan aku yang terbabit, aku tetap berasa tempiasnya, kerana aku penulis novel popular. Aku mengenali dunia novel dengan membaca karya-karya seperti karya Ahadiat Akashah, Lamia Aimal, Zuraidah Othman, Hizairi Othman, Nisah Haron dan dan ramai lagi. Semenjak di sekolah rendah, aku sudah meminati karya sains fiksyen Hizairi. Melangkah ke alam remaja, aku taat mengikuti cerpen Nisah Haron yang sering terpapar di majalah Dewan Siswa. Ketika itu juga aku turut membaca karya-karya Ahadiat dan Zuraidah, di samping beberapa novel popular lain yang muncul di era 90-an.

Berbekalkan semangat penulis-penulis ini, aku melayarkan pena untuk menjadi sehebat mereka. Aku ingin berkongsi cita dan rasa dengan dunia. Walaupun pada mulanya kebanyakan karya-karya ku hanya menjadi penghuni kotak-kotak buku, aku masih tetap menulis kerana mungkin suatu hari nanti karya ku akan diterbitkan.
Aku sebenarnya takut-takut hendak menginjakkan kaki ke dalam dunia penulisan yang ketika itu memang sudah dikuasai oleh nama-nama besar (baik popular mahupun sastera). Aku tidak yakin dengan kemampuan sendiri. Mungkin aku bernasib baik kerana semenjak di tingkatan 4, aku sudah diajar mengenai sastera, membaca hikayat, menganalisis novel sastera dan drama sehinggalah aku ke tingkatan enam. Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Panji Semirang, Hikayat Awang Merah Muda adalah antara karya-karya klasik kesukaan ku sehingga kini. Entah kenapa, aku tidak begitu menghayati sastera moden yang pernah menjadi sukatan pelajaran sastera bagi tingkatan 4, 5 dan 6.

Ketika kaki sudah menginjak ke dunia penulisan, rupa-rupanya aku tersalah tapak. Tapak yang ku injak rupa-rupanya tidak kukuh. Patah semangat seketika sebelum hati ku terbuka untuk mencuba buat kali kedua. Bermula dari situ, langkah ku hayun semakin laju dengan terbitnya tiga buah novel-novel ku di bawah dua penerbit. Kali ini akan ku hayun kaki ku laju-laju sehingga hati ku puas.

Aku akui masih banyak kelemahan yang harus dibaiki. Aku tidaklah sehebat penulis sastera lain yang bijak menyulam kata sehingga menjadi untaian frasa dan klausa yang indah mengasyikan dan mengujakan. Aku juga tidak sehebat novelis popular yang bisa mengemudi perasaan pembaca hingga menghayati kisah yang dipaparkan.
Aku menulis dengan bahasa yang mudah difahami oleh pembaca. Jalan cerita...aku cuba mencari kelainan walaupun kadang kala kelainan itu rupa-rupanya sama dengan milik orang lain tanpa pengetahuan ku. Ada pendapat mengatakan novel cinta selalu klise. Asyik-asyik cerita yang sama. Hm...drama dan filem Melayu mahupun antarabangsa apa kurangnya. Cuma tukar pelakon dan latar tempatnya jadilah filem lain. Temanya masih berkisarkan perkara yang sama, cuma disampaikan melalui pelbagai cara ikut kreativiti masing-masing.
Bagi aku, aku hidup dalam dunia yang aku paparkan. Kisah yang aku paparkan ialah kisah aku, kau dan dia. Aku tak tahu pula nak buat cerita yang melangkaui aku, kau dan dia. Mungkin ada yang dah bosan dengan kisah aku, kau dan dia? Tapi kebosanan itu janganlah dijangkitkan kepada orang lain. Kalau dah tak suka, baik jangan baca. Aku tak baca karya yang aku tak suka. Sebab itu aku tak pernah mengutuk karya orang lain sesuka hati. Bagi aku karya seseorang itu ada nilai dan keistimewaan tersendiri hatta karya-karya yang mempunyai bahasa-bahasa melampau, bombastik, lucah mahupun ganas. Aku hormati lontaran buah fikiran mereka walaupun tidak semua orang menyetujui atau menyukainya. Aku cuma akan kutuk karya yang memesongkan akidah.

Kritikan itu bagus untuk penambahbaikan. Tapi jangan samakan kritikan dan kutukan. Kritik karya seseorang, bukan peribadinya. Kritikan biarlah yang membina dan menunjukkan arah yang sepatutnya, bukan kritik untuk metongsampahkan.

Puas dah kot aku membebel.

Bacalah dengan fikiran yang terbuka luas; seluas lautan, seluas angkasa:
Pilihlah pembimbing berwibawa oleh Zaid Akhtar, Utusan Malaysia Online 17/09/2006
Kasta dalam sastera oleh kuseman@pc.jaring.my, Utusan Malaysia Online 18/09/2006
Zaid Akhtar kemilau nama besar oleh Saifur Rohman, Utusan Malaysia Online 15/10/2006

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kena cabut ke?

Resepi Bihun Goreng Simple Tapi Sedap

Sambal hangit