Aku menulis bukan kerna nama
Sudah lama ku biarkan blog ini sepi tanpa coretan, kecuali ucapan Selamat Hari Raya. Selepas melalui beberapa perkara yang bangkit bagai cendawan selepas hujan dalam dunia penulisan, aku bagaikan terpanggil untuk menghidupkan blog ini dalam suasana yang lebih serius. Kali ini aku bukan sahaja akan membincangkan mengenai novel-novel ku, malah akan ku kupas dan ku paparkan berita-berita yang muncul di mana-mana yang berkaitan dengan dunia sastera. Semalam melalui Yahoo! Messenger, seorang rakan penulis Najwa Aiman memberitahu ku mengenai beberapa keratan akhbar siaran Utusan/Mingguan Malaysia mengenai penulisan sastera. Aku yang selama ini memang terasa ada bahang yang wujud antara penggiat novel popular dan penggiat sastera, terus terpanggil untuk membaca petikan-petikan tersebut. Walaupun bukan aku yang terbabit, aku tetap berasa tempiasnya, kerana aku penulis novel popular. Aku mengenali dunia novel dengan membaca karya-karya seperti karya Ahadiat Akashah, Lamia Aimal, Zuraidah Othma...